Tuesday, October 21, 2008

Akhlak & Adab Pelajar Perlu Diberi Penekanan Utama

Written by Muhammad Farris bin Mohd Hanafi
Tuesday, 21 October 2008 13:32
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kita disajikan dengan laporan beberapa insiden salah laku akhlak, yang sampai ke tahap jenayah, yang berlaku di kalangan pelajar sekolah di dalam kawasan sekolah itu sendiri. Terbaru, dilaporkan sekitar 15 hingga 20 orang pelajar lelaki sebuah sekolah di utara negara terbabit dalam insiden pergaduhan. Sedihnya, kes tersebut berlaku tidak sampai seminggu selepas kes pelajar menendang gurunya sendiri di sekolah yang sama.

Kejadian-kejadian tersebut bukanlah yang pertama kali berlaku di negara ini. Malah, negara juga pernah digemparkan dengan insiden ‘bunuh’ yang berlaku di salah sebuah sekolah menengah agama di negara ini. Seharusnya, insiden-insiden salah laku akhlak yang banyak berlaku di kalangan para pelajar sekolah di negara ini diberikan perhatian yang serius dan utama. Biarpun mungkin statistik yang ada menunjukkan bahawa kes-kes salah laku akhlak adalah minoriti, tetapi realiti sebenarnya adalah banyak lagi kes-kes kerosakan moral pelajar sekolah yang tidak dikesan atau tidak dilaporkan. Bagi sesiapa yang sering turun padang untuk berjumpa dengan para pelajar sekolah pasti mengetahui realiti ini.

Dengan realiti tersebut, adalah menjadi satu keperluan yang mendesak untuk sistem pendidikan kita di negara ini meletakkan pembentukan akhlak dan peribadi yang baik itu sebagai keutamaan. Apa yang dapat diperhatikan pada hari ini adalah kita terlalu memberikan penekanan kepada proses pembentukan warganegara yang baik (good citizen) dan bukannya kepada pembentukan manusia yang baik (good man). Kita meletakkan pembelajaran ilmu-ilmu alat seperti matematik dan sains pada kedudukan yang sama rata, jika tidak lebih tinggi, dengan ilmu-ilmu fundamental seperti agama dan pengajian moral.

Tidak dinafikan bahawa sebagai sebuah negara membangun, kita perlu melahirkan ramai tenaga kerja yang mahir dan berketrampilan untuk mendokong dan menguruskan proses pembangunan. Namun, apalah ertinya pembangunan infrastruktur dan material jika tidak diiringi secara seimbang dan adil dengan pembangunan manusia yang berkualiti? Manusia yang berkualiti, sudah tentu, tidak hanya punya kemahiran dan pengetahuan untuk mengurus segala sistem yang ada di persekitarannya, tetapi yang lebih penting daripada itu adalah punya kemahiran untuk mengurus dirinya sendiri serta mengurus hubungannya dengan orang lain.

Dalam hal ini, soal adab dan akhlak yang baik haruslah diletakkan sebagai matlamat utama pendidikan negara. Pendidikan asas agama, faham nilai dan pemupukan akhlak mesti diberikan penekanan yang lebih tinggi berbanding pembelajaran ilmu-ilmu yang lain. Proses membentuk negara yang sejahtera, semestinya harus bermula dengan pembentukan manusia yang baik dan berkualiti, kemudian barulah pembentukan persekitaran dan infrstruktur yang baik. Bersama-samalah kita mencontohi bagaimana Rasulullah s.a.w. mengasaskan kerajaan Madinah al-Munawwarah, serta seterusnya mencetuskan perkembangan tamadun Islam yang merupakan tamadun terbesar dalam sejarah dunia, di mana baginda meletakkan kefahaman agama itu sebagai asas dalam mendidik umatnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...